Allah yang memberikan kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula.
"Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu
sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah
ganjaran yang besar." - [Surah al-Anfal : 28]
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan
sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan,
dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." -
[Al-Baqarah 2:155]
Bila diuji, bersabarlah wahai hati.Musibah datang dalam pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah daripada Allah bagi mereka yang celik hati dan akalnya.
Bila diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah kita menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan kembali muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan seharian..
Atau bagaimana?
Jarang sekali kita bersyukur dengan ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga, ujian itu merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat kepada-Nya, agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa kepada Dia.
Moga kita dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga.
Kerana Dia kasihkan kita. Sekali-sekala Dia 'mengejutkan' kita dari lena yang panjang. Menyedarkan kita dari kealpaan dan kelalaian.
Kerana semuanya milik Dia. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia ingini sebagaimana firman-Nya;
"Sesungguhnya Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki
kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan menyempitkannya;
sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah) adalah
al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat)." - [Surah
Al-Israk:30]
Wang dan harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja
jika Dia mahu menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia 'pergi' dari
kita.Contohnya tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi sesiapa yang miliki kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau terlanggar pokok, semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung, duit itu keluar dari poket kita.
Allah swt berfirman berfirman lagi dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;
"Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan
dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka
belum lagi mendapat cubaan?"
Maka, bila Allah menguji kita dengan rezeki yang kita miliki. Buka mata. Muhasabahlah, periksa dan koreksi diri sendiri.Peringatan buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah mahu 'menegur' kita dengan cara tersebut.
Diriwayatkan dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;
"Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang
hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia; sedang apabila
Allah menghendaki keburukan pada seorang hambaNya maka Dia menangguhkan
dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di hari Kiamat." - [Hadits
riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]
Mungkinkah cara kita mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya?Atau mungkin kita lupa untuk mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke jalan Allah?
Atau mungkin juga kita menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta) dengan melakukan perkara-perkara yang dimungkari oleh Allah swt.
Suatu peringatan dari-Nya, agar kita tidak terus leka bergelumang dengan perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.
Atau mungkin Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita menerima ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada kita.
Bukankah Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima ketentuan-Nya dengan hati yang tenang dan redha?
Firman Allah;
"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa
seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada
Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha
Mengetahui segala sesuatu." - [At-Taghabun:11].
Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman kepada-Nya.Allah berfirman lagi;
"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan
sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang
yang khusyuk." - [Surah al-Baqarah:45]
"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah
pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh,Allah beserta
orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah:153]
Wahai hati, bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah
berjuang, mohonlah pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Dan
yakinlah bahawa cukuplah Allah sebagai penolong.Bersabarlah wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu, bila ditimpa musibah, hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah "Innalillahiwainnailaihirajiun".
No comments:
Post a Comment